Manusia itu seperti buku. Kulit hadapan ialah tarikh lahir. Kulit belakang ialah tarikh kematian.

Manusia itu seperti buku. Kulit hadapan ialah tarikh lahir. Kulit belakang ialah tarikh kematian.

Sunday, 25 December 2016

Peperiksaan Akhir Sudah Tiba

Bila memasuki dewan peperiksaan, perhatian biasanya bukan pada sekadar menjawab soalan tetapi memikirkan sama ada jawapannya tepat & diterima. Lalu persiapan rapi dibuat bagi mencapai lulus dan cemerlang. 

Namun ketika manusia melaksanakan ibadah, ramai yang hanya ‘menunaikannya’ tanpa banyak perhatian kepada sama ada ia LULUS untuk diterima Allah. Hasilnya, persiapan dibuat secara sampingan lalu rugilah mereka.

*********************************************************************************
Wahai sahabatku..
Biarlah kita buruk rupa,
Tapi cantik budi bahasa.

Biarlah kita tidak jelita,
Tapi akhlak kita terjaga.

Biarlah pakaian kita fesyen lama,
Tapi aurat kita tidak terbuka.

Biarlah kita miskin harta,
Tapi kaya ilmu agama.

Tidak perlu malu gagal dalam peperiksaan,
Tapi malulah kalau tidak boleh baca Al-Quran.

Biarlah orang kata tak ingat dunia,
Tapi akhirat kita tak lupa.

Jangan kita mulia di depan mata manusia,
Tetapi hina di depan Allah Yang Esa..

Wednesday, 21 December 2016

Kelahiranku



Kelahiran
Di sini bermulanya sebuah kelahiran
Dari rahim seorang bonda.

Kesakitan
Kelelahan
Keperitan

Tidak dapat digambarkan dengan tulisan
Apa yang difikirkan,
Hanyalah ingin melihat sang anak lahir kedunia dengan sempurna.

Setelah kelahiran bermula,
Tangisan kegembiran yang melanda,
Segala kesakitan terhapus selamanya.

Duhai bonda,
Terima kasih atas kelahiran anakmu ini,
Tidak terbalas jasamu bonda,
Hanya mampu menjadi penyejuk matamu duhai bonda.

Wahai anak.
Jangan pernah lupa jasa pengorbanan seorang bonda,
Penat lelah seorang ayah dalam mencari nafkah.

Terima kasih bonda dan ayah
21.12
Selamat hari lahir buat diri.

Friday, 16 December 2016

Anugerah Penulis S.E.A.

Anugerah Penulis S.E.A. (S.E.A. Write Award), merupakan anugerah yang diberikan setiap tahun semenjak 1979 kepada penyair dan penulis di Asia Tenggara. Anugerah ini diberikan kepada penulis dari setiap negara yang terdiri daripada ASEAN, sungguhpun bukan semua negara dalam ASEAN telah diwakili setiap tahun. Anugerah ini kadang kala diberikan bagi hasil tulisan khas penulis, atau ia boleh diberikan bagi pencapaian sepanjang hayat.


1979 A.Samad Said
1998 Othman Puteh
1980 Baharuddin Zainal
1999 Khatijah Hashim
1981 Abdullah Hussein
2000 Lim Swee Tin
1982 Usman Awang
2001 Zakaria Ariffin
1983 Adibah Amin
2002 Anwar Ridhwan
1984 A Latiff Mohidin
2003 Zakaria Ali
1985 Arena Wati
2004 Zurinah Hassan
1986 Kemala  (Ahmad Kamal Abdullah)
2005 A Ghafar Ibrahim
1987 Noordin Hassan
2006 Jong Chian Lai
1988 Azizi Hj Abdullah
2007 Rahman Shaari
1989 Siti Zainon Ismail
2008 Hatta Azad Khan
1990 S.Othman Kelantan
2009 Azmah Nordin (Sabah)
1991 Jihaty Abadi
2010 Zaen Kasturi
1992 Amil Jaya (Sabah)
2011 SM Zakir
1993 Dharmawijaya 
2012 Ismail Kasan
1994 A Wahab Ali
2013 Malim Ghozali PK
1995 Suhaimi Hj Muhammad
2014 Zam Ismail
1996 Zaharah Nawawi
2015 Jasni Matlani (Sabah)
1997 Muhammad Hj Salleh



Sumber: Pustaka Iqbal Nazim 2015

Friday, 9 December 2016

Sungguh, Itu Kenangan Terindah BuatKu

Hari ini merupakan kelas kami yang terakhir. Jadi kami persembahkan kepada Dr Kamariah Kamarudin hasil latihan Drama Oh! Saat kami. Dalam drama ini, saya memegang watak Odah iaitu seorang wanita sengau. Saya akui amat susah untuk mengekalkan watak sengau dalam setiap percakapan semasa drama pendek ini berlangsung. Tetapi dengan dorongan rakan-rakan saya, saya berjaya menjiwai watak Odah dan terpaksa berperang hati dengan suaminya Saat yang masih mencintai bekas kekasihnya Joyah. 

Alhamdulillah, drama kami berjaya dengan jayanya dan mendapat pujian daripada Dr Kamariah Kamarudin. Kami sangat berpuas hati dengan komen yang dilemparkan kepada kami. Walaupun kami tidak mempunyai masa yang banyak tetapi dengan komitmen yang diberi akhirnya kami berjaya dan berhak untuk diberi pujian.

Antara barisan pelakon Oh Saat!

*********************************************************************************
Buat Dr Kamariah Kamarudin 

Duhai Dr Kamariah kesayangan hati,
Besar pengorbanan diber,
Diri ini sentiasa bisa merasai,
Kasih sayang tulus kerana Illahi.

Hati ini dalam keperitan,
Terpaksa menerima hakikat,
Saat pertemuan ada perpisahan,
Pengorbananmu akan ku ingat.

Rindu ini bisa kuluahkan,
Melalui doa akan ku utuskan,
Kepada Tuhan tempat kuharapkan,
Moga dipinjamkan kepadaku sedikit kekuatan.

Tidak mungkin ku lupakan,
Kenangan yang membahagiakan,
Silaturrahim telah dijalinkan,
Sebagai tanda kasih demi Tuhan.




 Terima kasih Dr Kamariah Kamarudin.

Friday, 2 December 2016

Aku hanyalah aku



Aku hanyalah aku. 
Aku tidaklah sehebat penenun sastera, yang lincah menenun bahasa menjadi sebuah punjangga. 
Aku tidak juga seperti penganyam kata, yang tangannya berseni mengukir corak bahasa, benaknya pintar membentuk keindahannya, terpalit manis dalam madahnya. 
Aku hanyalah penjahit 'sementara' yang berusaha untuk melekatkan cebisan-cebisan perca bahasa, yang sudah menjadi buangan sastera dunia untuk aku bentukkan menjadi sebuah sarung jiwa, yang bisa mengajak manusia kepada tuhan.

Friday, 25 November 2016

Syurga Kasih Di Kaki Pelangi




"Aku mencari tempayan emas di kaki pelangi, rupa-rupanya syurga kasih juga menanti di sini."

Erni Aflina, gadis anak angkat berhati tulus, hidupnya tidak pernah tenang kerana banyak liku-liku yang tidak terjangka terpaksa ditempuhi. Sejak kecil dia mengimpikan syurga kasih, sejak kecil juga dia mencari-cari tempayan emas di kaki pelangi. Segala-galanya tidak pernah indah buat Aflina. Sampai suatu masa, dia perlu minta diri.


Izrar Hadafi, anak muda berhati luhur, hidupnya mewah tetapi tidak sarat dengan kasih sayang. Dia ingin menjadi Hang Jebat, dia akan membela apa-apa yang dirasakan benar. Segala-galanya tidak pernah elok di mata dan di hati Hadafi sehingga dia mengenali gadis itu. Namun, tidak mudah hendak mendekati dan memiliki hati Aflina.

Sepasang hati bertemu di hujung noktah. Titis-titis hujan menderu ketika fikiran keliru dan perasaan celaru. Siapa sangka di hujung jalan, Aflina menemui syurga kasih di kaki pelangi yang dicari-cari…

Ikutilah kisah pencarian gadis Erni Aflina yang mendebarkan ini...

*********************************************************************************
Kuliah kali ini kami bersama Dr Halis Azhan, penulis novel Syurga Kasih Di Kaki Pelangi. Kami belajar pelbagai teknik dalam membikin novel yang menarik. Dan beliau menceritakan pengalaman dan strategi beliau dalam menulis novel Syurga Kasih Di Kaki Pelangi tersebut.

Sedikit mengenai Dr Halis Azhan:

Beliau mula menulis pada 31 Januari 1984. Karya pertama beliau ialah sebuah cerpen kanak-kanak berjudul Anak Pungut (Bujal, Januari 1985). Novel-novel hasil pena beliau ialah Konflik (Utusan Melayu, 1989), Krisis (Utusan Melayu, 1990), Ariff (Marwilis Publisher, 1991), Cinta Gadis Nadia (Utusan Melayu, 1992), Biduk Berlalu (Utusan Melayu, 1993), Azfa Hanani (Utusan Melayu, 1994), Erni Aflina (DBP, 2001), dan Seperti Sejalur Pelangi (DBP, 2004). Halis Azhan juga menghasilkan tiga buah kumpulan cerpen remaja, iaitu Dunia Kecil Kami (FIP, 2007), Terjerat Dalam Belenggu (FIP, 2007) dan Cerita pada Hari Valentine (2007).

Halis Azhan pernah memenangi Hadiah Sastera Utusan Melayu – Public Bank pada tahun 1988, 1989, 1991, 1992, 1993 dan 1994 bagi kategeri novel dan cerpen remaja, Hadiah Pertama Cerpen Kanak-kanak Mobil – DBP 1998 dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2002/2003 bagi kategori Kumpulan Cerpen Kanak-kanak. Beliau juga pernah dilantik sebagai panel hakim beberapa sayembara penulisan tanah air.

Friday, 18 November 2016

KUMPULAN CERPEN CATATAN CINTA ANAKANDA BONDA




KANDUNGAN :


  1. Pabila Bulan Mengambang, Pabila Angin Menerbang
  2. Bisu, Kaku dan Kelu
  3. Catatan Cinta Anakanda Bonda
  4. Daripada Nutfah Kepada Tanah
  5. Dua Nama: ISA, ISO
  6. Kirah Kiryah di Kecibak Senja
  7. Orang Berilmu lwn Orang Biadab
  8. Rahmah wa Mawaddah
  9. Tentang Hijab
  10. Tentang KPI

Harapan Dr Kamariah dalam menulis buku ini adalah supaya menjadi inspirasi untuk anak muda agar meneroka ilmu baru contohnya agama, falsafah, dan lain-lain, dalam usaha menerapkannya dalam kumpulan cerpen ini. Selain itu, agar buku ini menjadi motivasi kepada diri beliau sendiri untuk terus tekal berkarya setelah lama tidak menulis novel dan meninggalkan penulisan puisi. Dan tidak lupa juga sebagai iltizam untuk terus menghasilkan kumpulan cerpen baru demi khazanah bahasa dan sastera Melayu untuk anak bangsa.

Sunday, 13 November 2016

Oh Bulan!


Bulan,
Kadangnya jadi peneman.

Setia dia,
Tak dapat aku ragu.
Tenang apabila melihatnya, itu aku.

Disaat yang lain menunding jari menyalahkan kita,
Dialah yang ada, kekal sebagai meneman setia.

Bila pagi,
Dia diganti matahari.
Waktu itu,
Mulalah rasa rindu menebal dalam diri.

Aku rindukanmu, wahai sahabat setia, juga bukan talam dua muka.

**************************************************************************

Fenomena Supermoon
14.11.2016, Isnin

Fenomena Supermoon adalah satu fenomena astronomi di mana Bulan akan berada di kedudukan paling hampir dengan Bumi (perigee) pada jam 07:24 malam dan  seterusnya berada pada fasa penuh atau purnama pada jam 09:54malam. Kejadian ini dikenali sebagai Bulan Penuh Perigee bagi ahli astronomi dan istilah ‘supermoon’ di kalangan masyarakat umum. 

Fenomena ini boleh dilihat pada 14 November 2016. 

Keadaan Bulan di kedudukan perigee ketika fasa purnama ini menyebabkan Bulan kelihatan  seolah-olah lebih besar dari keadaan biasa. Bagaimanapun saiz fizikal Bulan sebenarnya tidak berubah sama sekali. 

Fenomena supermoon telah berlaku pada 6 Mei 2012, 23 Jun 2013, 10 Ogos 2014 dan 28 September 2015. 

Bagaimanapun kejadian kali ini merupakan supermoon yang berada pada jarak paling dekat dengan bumi sejak 68 tahun. 

Maka rakyat Malaysia perlu mengambil kesempatan ini untuk menyaksikannya kerana ianya dijangka berlaku 18 tahun akan datang!!

Friday, 11 November 2016

HADIAH TERBAIK


Hadiah tidak semestinya sesuatu yang berupakan wang ringgit atau harta benda. Banyak cara untuk kita menghadiahkan sesuatu kepada orang tersayang tanpa perlu membelanjakan wang:-

1. Hadiah terbaik untuk seorang sahabat adalah Doa.
2. Hadiah terbaik untuk seorang musuh adalah Kemaafan
3. Hadiah terbaik untuk seorang guru adalah Kejayaan
4. Hadiah terbaik untuk murid adalah Tauladan
5. Hadiah terbaik untuk sebuah kehidupan adalah Kasih Sayang
6. Hadiah terbaik untuk sebuah kematian adalah Al-Fatihah
7. Hadiah terbaik untuk ibu bapa adalah Kebaktian
8. Hadiah terbaik untuk isteri adalah Penghargaan
9. Hadiah terbaik untuk suami adalah Kesetiaan
10. Hadiah terbaik untuk anak adalah Pendidikan
11. Hadiah terbaik untuk diri sendiri adalah Kejujuran
12. Hadiah terbaik untuk orang yang tak dikenali adalah Senyuman
13. Hadiah terbaik untuk Rasulullah adalah Selawat
14. Hadiah terbaik untuk Allah SWT adalah Ketaqwaan

Sentiasalah bermurah hati untuk menghadiahkan sesuatu kepada insan sekeliling kita kerana pemberian anda hari ini adalah ganjaran untuk hari esok :)

Friday, 4 November 2016

Ini Adalah AturanMu


Awalnya Kau bina sebuah ketentuan, 
Bercambah berputik seakan tanaman, 
Menginspirasi harapan, 
Mengertikan sandaran, 
Melestari kenangan, 
Dengan satu keyakinan, 
Atas namaMu Tuhan.

Saat percayaku jitu,
Kau uji dengan ragu,
Serangan persepsi yg membelenggu,
Tegar mempersoalkan takdirMu,
Apakah benar ini ketentuanMu?
Futur durjana membekas di qalbu,
Dalam sela waktu tertentu.

Nyata sungguh Kau Maha Perkasa,
Hidup ini Kau yg punya,
Usai teguh berdiriku bak laksamana,
Gambaran demi gambaran melakar bahagia penghujungnya,
Sekelip mata ianya sirna,
Menanti waktu lenyap segalanya.

Tuhan,
Apakah makna harapan?
Apakah makna kepercayaan?
Sampai waktu lesap tanpa kesan,
Jika bukan Kau tempat sandaran,
Manakah lagi tempat penggantungan.

Ini adalah aturanMu,
Akan kuharungi sesuai dengan kehendakMu.

Friday, 28 October 2016

Salam Jumaat


Surah Al Kahf (Gua)
Ayat 7 ; " Sesungguhnya kami telah menjadikan apa yang ada di bumi sebagai perhiasan baginya, agar kami menguji mereka, siapakah di antaranya yang terbaik perbuatannya" 


Wednesday, 26 October 2016

Allah berikan kami kekuatan..

Pada 25 Oktober 2016, negara kita digemparkan dengan berita kebakaran di Hospital Sultanah Aminah, Johor. Dalam kejadian yang dipercayai berlaku kira-kira jam 9 pagi itu, wad ICU dua tingkat yang berada di bahagian selatan hospital telah terbakar. Enam pesakit yang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA) disahkan meninggal dunia dalam kejadian kebakaran. Semua jururawat yang bertugas di wad ICU berjaya diselamatkan bagaimanapun tiga daripadnya sesak nafas akibat asap tebal.




Setiap yang berlaku dalam kehidupan kita pasti ada sebab musababnya.
Lalui sahaja kehidupan ini dengan tenang dan sabar akan setiap ujian yang datang
Semuanya diulit dengan hikmah dan tetaplah berdoa kepada Allah supaya kita dikurniakan kesabaran dan redha akan setiap ketentuan.
Sifat Ahli Syurga adalah sentiasa sabar dalam menghadapi setiap musibah yang menimpa hidupnya..

Friday, 21 October 2016

Peringatan Untuk Diri Ku

Menangis dia, menyesal.
Matinya dalam dosa.

Pagi harinya,
Langsung tak bersyukur masih Allah kurnia nyawa.
Peluang yang dia ada,
Digunanya untuk menambahkan lagi dosa tanpa langsung cuba bertaubat dan tambah pahala.

Menangis dia, menyesal.
Matinya dalam dosa.

Hari-harinya dipenuhkan dengan maksiat noda,
Katanya "akhir nanti lepas masuk neraka, aku masuk syurga."
Fikirnya, neraka itu tempat bahagia?
Katanya, seperti neraka itu taman tema.

Menangis dia, menyesal.
Matinya dalam dosa.

Dosa umpat, kutuk hina dan maki,
Dikira tiada baki,
Kesemuanya penuh, langsung tak ditebus dengan taubat.
Dosa dengan manusia, apa dia fikir dapat terhapus semata minta ampun dengan Tuhan?
Tak, dia silap.

Menangis dia, menyesal.
Matinua dalam dosa.

Menangis dia, menyesal di akhirat sana.
Tika itu, tak guna.
Menangis walaupun tahun berjuta, sia-sia.

Sekarang ada peluang, manfaatkan.
Jangan nanti, terketar-ketar tangan minta Tuhan kembalikan nyawa.

Muhasabah!

Friday, 14 October 2016

Musibah itu mengecil jika dirahsiakan
Membesar jika dikeluh kesahkan
Terurai jika kita mengadu kepada Allah
Menjadi rumit jika diceritakan pada manusia
Silap dan betul itu bukan untuk dibahaskan
Tetapi meletakkan ia menjadi pengajaran dan pengalaman hidup

Senyum satu sadekah
Makhluk tetap makhluk
Yang tiada daya upaya

Terima Kasih Allah

Friday, 7 October 2016

Kesusasteraan Melayu





Hashim Awang (1985) memperincikan sastera sebagai hasil ciptaan seni yang disampaikan melalui bahasa. Hasil sastera disebarkan melalui bahasa manakala bahasa mampu memancarkan keindahan yang terkandung dalam karya sastera. Wahana bahasa menjadikan karya sastera dapat difahami segala isi dan tujuan yang mahu dilakarkan oleh pengarang.

Bagi Ali Ahmad (1994) karya sastera terkandung di dalamnya nilai-nilai estetika atau keindahan manakala bahasa sastera lahir bersama-sama pembinaan rasa, cita-cita, imaginasi kehidupan, dan fikiran. Selain itu karya sastera tidak dapat lari dari membawa bersamanya unsur nilai yang ada perkaitan dengan keagamaan, kebudayaan, dan kemasyarakatan.

Awang Sariyan (2003) penggunaan bahan sastera dalam pengajaran bahasa bertujuan untuk melatih pelajar membaca karya sastera dengan strategi yang tepat, bukan semata-mata untuk memenuhi tujuan praktis seperti memperolehi maklumat tetapi untuk menganalisis teks sastera bagi memperoleh kemungkinan makna tertentu secara simbolis atau filosifis.


Friday, 30 September 2016

Sajak


Apa itu puisi?

Puisi ialah karangan yang berbentuk sajak, iaitu hasil kreatif berangkap moden yang dapat dilihat bentuknya menerusi gubahan dalam bahasa yang indah untuk menyatakan fikiran, perasaan, pengalaman dan sebagainya.
-Dr. Kamariah Kamarudin-

Antara sajak yang menjadi pilihan Dr ialah Sajak Hidup Bersama 
karya Sasterawan Negara A Samad Said.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------Hidup Bersama

Kita sudah sampai di lereng amat indah, di bawah
pelangi, dalam ufuk yang masih mencabar;
dan kita ikhlas berjanji untuk bermaruah,
tenang dalam segala uji cabar dan debar.
Kita mencari hanya yang tulen dan jati,
sekata hidup, mengerti dan berbudi.

Kita wajar mendaki lagi kerana puncak
yang jauh. Dalam gelora dan taufan
tak tercalar tekad kita kerana kemerdekaan
mengasuh kita bersuara dalam sopan,
yakin menyanggah musuh, tulus menambah kawan,
inti tunggak dan menara kebahagian.

--A Samad Said--

Saturday, 24 September 2016

Penglahiran Bakat Kreatif

Assalamualaikum warrahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera

23 September 2016, merupakan kelas BBK3410 ( Penglahiran Bakat Kreatif ) pertama saya, ini adalah kerana saya merupakan pelajar ambilan kedua bagi program Bacelor Komunikasi. Siapa kata program komunikasi atau lebih prominen di sebut "Masscom" ini senang? Memang benar dan saya tidak menafikan antara faktor saya memilih program ini kerana saya melihat peluang pekerjaan begitu luas memandangkan media massa pada era globalisasi ini. 

Subjek penglahiran bakat kreatif adalah salah satu subjek yang perlu saya ambil pada semester satu. Pada mulanya saya menyangka subjek ini hanya belajar mengenai cara bercakap dihadapan orang ramai memandangkan kami daripada Bacelor Komunikasi. Tetapi saya silap, rupa-rupanya subjek ini lebih kepada cara pelajar mengeluarkan idea untuk mencipta cerpen, sajak, novel dan drama. 

Benar, saya sangat suka subjek ini dan saya rasa begitu teruja apabila berada di dalam kelas walaupun ini merupakan kelas saya yang pertama. Mungkin saya ada sedikit minat kepada sastera melayu kerana bagi saya sastera melayu begitu indah dan perlu bermain dengan kata-kata yang mempunyai makna yang tersirat mahupun tersurat.  Dan itu sangat menyeronokkan !

DR. KAMARIAH KAMARUDIN

Sebuah nama yang tidak asing lagi dalam negeri fana penglahiran bakat kreatif ini. Pandangan pertama saya terhadap beliau :

 " Wah! saya sangat kagum dengan semangat Dr. untuk menghasilkan novel kerana saya sendiri tahu untuk menghasilkan karya perlu memiliki kesabaran yang tinggi, Dr. telah membakar semangat saya untuk mencuba sesuatu yang saya belum pernah lakukan selama saya bernafas kerana pada usia yang muda Dr. telah menempah nama di mercapada sastera"


Harapan saya pada subjek ini begitu tinggi pada subjek ini, saya harapkan subjek ini dapat membuka minda saya untuk mengenali dunia sastera dengan lebih akrab . 




Friday, 23 September 2016

A K U

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم


Assalamualaikum warrahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera

Hati gembira menari-nari,
Melompat sana melompat sini,
Izinkan saya memperkenalkan diri,
Nama saya Aqilah Izyani .

-- Aqilah Izyani --
" Tik Tik Tik "

9.45 pagi, 21 disember 1994,  lahirlah seorang hamba yang dihembuskan kepadanya ruh malah sudah tercatat kepadanya rezeki, ajal, amalan dan adakah dia celaka atau bahagia akhirnya.. Ya.. dia adalah aku yang bernama Nur 'Aqilah Izyani Binti Zainal Abidin. Pernah juga sesekali rakan mahupun kenalan bertanya kepada aku " Kenapa nama kau ada koma atas ( ' ) ? " Sebenarnya simbol ( ' ) merujuk kepada huruf ain "ع" apabila nama aku dieja di dalam bahasa arab seperti ini " عقيلة ".

Aku merupakan pelajar lepasan diploma dari Politeknik Merlimau, Melaka. Dalam jurusan Pengurusan Pelancongan. Usaha aku selama 3 tahun di Politeknik Merlimau, Melaka menjadi sejarah yang begitu ghairah apabila aku dinobatkan antara pelajar yang menerima Anugerah Khas Ketua Jabatan Politeknik Merlimau. Airmata ibu dan ayahku mengalir begitu deras dengan berita tersebut. Aku begitu sebak dan terlalu gembira dengan pencapaianku. Lantas ia menjadi salah satu nafas semangat kepada aku apabila aku berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam program Bacelor Komunikasi di Universiti Putra Malaysia . 

Seorang yang begitu teruja untuk menceburi sesuatu yang belum pernah di lakukan selama lebih kurang 22 tahun meminjam bumi indah ciptaan Maha Esa. Aku merupakan seorang kakak yang  bertanggungjawab kepada keluarga dan adik yang berusia 12 tahun. Aku tidak mempunyai kakak mahupun abang, tetapi aku pasti aku tidak mampu untuk berdiri sendiri tanpa pertolongan daripada Sang Pencipta serta sokongan daripada ibu dan ayah tercinta. Seringkali aku menitiskan air mata apabila terbayang manisnya wajah kedua ibu dan ayah yang sentiasa untuk memberi yang terbaik kepadaku. Itu adalah satu nikmat yang tidak mampu aku ungkapkan. 


Semoga entri pertama aku ini, 
mampu memberi aku sedikit gambaran dan semangat
 untuk aku mencoret sedikit kisah
 pada masa akan datang.