"Aku mencari tempayan emas di kaki pelangi, rupa-rupanya syurga kasih juga menanti di sini."
Erni Aflina, gadis anak angkat berhati tulus, hidupnya tidak pernah tenang kerana banyak liku-liku yang tidak terjangka terpaksa ditempuhi. Sejak kecil dia mengimpikan syurga kasih, sejak kecil juga dia mencari-cari tempayan emas di kaki pelangi. Segala-galanya tidak pernah indah buat Aflina. Sampai suatu masa, dia perlu minta diri.
Izrar Hadafi, anak muda berhati luhur, hidupnya mewah tetapi tidak sarat dengan kasih sayang. Dia ingin menjadi Hang Jebat, dia akan membela apa-apa yang dirasakan benar. Segala-galanya tidak pernah elok di mata dan di hati Hadafi sehingga dia mengenali gadis itu. Namun, tidak mudah hendak mendekati dan memiliki hati Aflina.
Sepasang hati bertemu di hujung noktah. Titis-titis hujan menderu ketika fikiran keliru dan perasaan celaru. Siapa sangka di hujung jalan, Aflina menemui syurga kasih di kaki pelangi yang dicari-cari…
Ikutilah kisah pencarian gadis Erni Aflina yang mendebarkan ini...
*********************************************************************************
Kuliah kali ini kami bersama Dr Halis Azhan, penulis novel Syurga Kasih Di Kaki Pelangi. Kami belajar pelbagai teknik dalam membikin novel yang menarik. Dan beliau menceritakan pengalaman dan strategi beliau dalam menulis novel Syurga Kasih Di Kaki Pelangi tersebut.
Sedikit mengenai Dr Halis Azhan:
Beliau mula menulis pada 31 Januari 1984. Karya pertama beliau ialah sebuah cerpen kanak-kanak berjudul Anak Pungut (Bujal, Januari 1985). Novel-novel hasil pena beliau ialah Konflik (Utusan Melayu, 1989), Krisis (Utusan Melayu, 1990), Ariff (Marwilis Publisher, 1991), Cinta Gadis Nadia (Utusan Melayu, 1992), Biduk Berlalu (Utusan Melayu, 1993), Azfa Hanani (Utusan Melayu, 1994), Erni Aflina (DBP, 2001), dan Seperti Sejalur Pelangi (DBP, 2004). Halis Azhan juga menghasilkan tiga buah kumpulan cerpen remaja, iaitu Dunia Kecil Kami (FIP, 2007), Terjerat Dalam Belenggu (FIP, 2007) dan Cerita pada Hari Valentine (2007).
Halis Azhan pernah memenangi Hadiah Sastera Utusan Melayu – Public Bank pada tahun 1988, 1989, 1991, 1992, 1993 dan 1994 bagi kategeri novel dan cerpen remaja, Hadiah Pertama Cerpen Kanak-kanak Mobil – DBP 1998 dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2002/2003 bagi kategori Kumpulan Cerpen Kanak-kanak. Beliau juga pernah dilantik sebagai panel hakim beberapa sayembara penulisan tanah air.