Manusia itu seperti buku. Kulit hadapan ialah tarikh lahir. Kulit belakang ialah tarikh kematian.

Manusia itu seperti buku. Kulit hadapan ialah tarikh lahir. Kulit belakang ialah tarikh kematian.

Friday, 30 September 2016

Sajak


Apa itu puisi?

Puisi ialah karangan yang berbentuk sajak, iaitu hasil kreatif berangkap moden yang dapat dilihat bentuknya menerusi gubahan dalam bahasa yang indah untuk menyatakan fikiran, perasaan, pengalaman dan sebagainya.
-Dr. Kamariah Kamarudin-

Antara sajak yang menjadi pilihan Dr ialah Sajak Hidup Bersama 
karya Sasterawan Negara A Samad Said.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------Hidup Bersama

Kita sudah sampai di lereng amat indah, di bawah
pelangi, dalam ufuk yang masih mencabar;
dan kita ikhlas berjanji untuk bermaruah,
tenang dalam segala uji cabar dan debar.
Kita mencari hanya yang tulen dan jati,
sekata hidup, mengerti dan berbudi.

Kita wajar mendaki lagi kerana puncak
yang jauh. Dalam gelora dan taufan
tak tercalar tekad kita kerana kemerdekaan
mengasuh kita bersuara dalam sopan,
yakin menyanggah musuh, tulus menambah kawan,
inti tunggak dan menara kebahagian.

--A Samad Said--

Saturday, 24 September 2016

Penglahiran Bakat Kreatif

Assalamualaikum warrahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera

23 September 2016, merupakan kelas BBK3410 ( Penglahiran Bakat Kreatif ) pertama saya, ini adalah kerana saya merupakan pelajar ambilan kedua bagi program Bacelor Komunikasi. Siapa kata program komunikasi atau lebih prominen di sebut "Masscom" ini senang? Memang benar dan saya tidak menafikan antara faktor saya memilih program ini kerana saya melihat peluang pekerjaan begitu luas memandangkan media massa pada era globalisasi ini. 

Subjek penglahiran bakat kreatif adalah salah satu subjek yang perlu saya ambil pada semester satu. Pada mulanya saya menyangka subjek ini hanya belajar mengenai cara bercakap dihadapan orang ramai memandangkan kami daripada Bacelor Komunikasi. Tetapi saya silap, rupa-rupanya subjek ini lebih kepada cara pelajar mengeluarkan idea untuk mencipta cerpen, sajak, novel dan drama. 

Benar, saya sangat suka subjek ini dan saya rasa begitu teruja apabila berada di dalam kelas walaupun ini merupakan kelas saya yang pertama. Mungkin saya ada sedikit minat kepada sastera melayu kerana bagi saya sastera melayu begitu indah dan perlu bermain dengan kata-kata yang mempunyai makna yang tersirat mahupun tersurat.  Dan itu sangat menyeronokkan !

DR. KAMARIAH KAMARUDIN

Sebuah nama yang tidak asing lagi dalam negeri fana penglahiran bakat kreatif ini. Pandangan pertama saya terhadap beliau :

 " Wah! saya sangat kagum dengan semangat Dr. untuk menghasilkan novel kerana saya sendiri tahu untuk menghasilkan karya perlu memiliki kesabaran yang tinggi, Dr. telah membakar semangat saya untuk mencuba sesuatu yang saya belum pernah lakukan selama saya bernafas kerana pada usia yang muda Dr. telah menempah nama di mercapada sastera"


Harapan saya pada subjek ini begitu tinggi pada subjek ini, saya harapkan subjek ini dapat membuka minda saya untuk mengenali dunia sastera dengan lebih akrab . 




Friday, 23 September 2016

A K U

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم


Assalamualaikum warrahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera

Hati gembira menari-nari,
Melompat sana melompat sini,
Izinkan saya memperkenalkan diri,
Nama saya Aqilah Izyani .

-- Aqilah Izyani --
" Tik Tik Tik "

9.45 pagi, 21 disember 1994,  lahirlah seorang hamba yang dihembuskan kepadanya ruh malah sudah tercatat kepadanya rezeki, ajal, amalan dan adakah dia celaka atau bahagia akhirnya.. Ya.. dia adalah aku yang bernama Nur 'Aqilah Izyani Binti Zainal Abidin. Pernah juga sesekali rakan mahupun kenalan bertanya kepada aku " Kenapa nama kau ada koma atas ( ' ) ? " Sebenarnya simbol ( ' ) merujuk kepada huruf ain "ع" apabila nama aku dieja di dalam bahasa arab seperti ini " عقيلة ".

Aku merupakan pelajar lepasan diploma dari Politeknik Merlimau, Melaka. Dalam jurusan Pengurusan Pelancongan. Usaha aku selama 3 tahun di Politeknik Merlimau, Melaka menjadi sejarah yang begitu ghairah apabila aku dinobatkan antara pelajar yang menerima Anugerah Khas Ketua Jabatan Politeknik Merlimau. Airmata ibu dan ayahku mengalir begitu deras dengan berita tersebut. Aku begitu sebak dan terlalu gembira dengan pencapaianku. Lantas ia menjadi salah satu nafas semangat kepada aku apabila aku berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam program Bacelor Komunikasi di Universiti Putra Malaysia . 

Seorang yang begitu teruja untuk menceburi sesuatu yang belum pernah di lakukan selama lebih kurang 22 tahun meminjam bumi indah ciptaan Maha Esa. Aku merupakan seorang kakak yang  bertanggungjawab kepada keluarga dan adik yang berusia 12 tahun. Aku tidak mempunyai kakak mahupun abang, tetapi aku pasti aku tidak mampu untuk berdiri sendiri tanpa pertolongan daripada Sang Pencipta serta sokongan daripada ibu dan ayah tercinta. Seringkali aku menitiskan air mata apabila terbayang manisnya wajah kedua ibu dan ayah yang sentiasa untuk memberi yang terbaik kepadaku. Itu adalah satu nikmat yang tidak mampu aku ungkapkan. 


Semoga entri pertama aku ini, 
mampu memberi aku sedikit gambaran dan semangat
 untuk aku mencoret sedikit kisah
 pada masa akan datang.